CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 9, 2011

adik kakak..

Biasanya kita memanggil “abang” kepada orang lelaki yang lebih tua daripada kita, samada dia adalah saudara kita atau pun tidak. Jika ia perempuan dan lebih tua maka kita akan memanggilnya dengan gelaran “kakak”. Tetapi perkara ini sangat berbeza kepada sebahagian orang-orang tua di Setiu Terengganu yang memanggil saudara perempuan mereka dengan panggilan “abang”. Misalnya seperti Abang Tipah, Abang Sara atau Abang Yam.

Lebih pelik lagi apabila ada dua orang lelaki yang kelihatan sebaya dan mereka ingin mengetahui siapa yang lebih tua maka mereka akan bertanya begini,

“Siapa kakak, siapa adik?”

Gelaran haji biasanya diberikan kepada orang lelaki yang sudah menunaikan haji, manakala bagi perempuan ia digelar hajjah. Kadang-kadang saya mendengar mereka menggelarkan haji kepada orang perempuan, contohnya Haji Sibah, Haji Sepiah atau Haji Dayang.

Saya tidak tahu bagaimana amalan panggilan ini boleh bertapak dan jika ia ada berkaitan dengan evolusi dialek serta bahasa. Kalau tidak silap saya, ia bukan hanya berlaku di Setiu sahaja malah di tempat-tempat lain juga di sekitar Terengganu dan Kelantan terutama di kalangan mereka yang sudah berumur. Mungkin ada sesiapa yang terbaca tulisan ini dan anda mempunyai sesuatu yang menarik ingin dikongsikan, jadi saya amat menghargainya jika anda dapat mencatatnya dalam ruangan komen di bawah ini.

0 comments: